PERIGI mencari TIMBA


"Sekarang lepas habis degree, nak buat apa pula? Nak kerja atau sambung lagi buat master?," saya bertanya.
Pada malam itu, alhamdulillah, diizinkan oleh Allah s.w.t. sempat bertukar khabar, bertanya berita kepada seorang kenalan yang berstatus kakak, yang saya kenal hampir 15 tahun silam. Beliau juga antara insan yang saya amat kagumi dan hormati. Akhlaknya baik dan dalam bidang akademik, mendapat anugerah dekan itu biasa. Mantap pokoknya.
"Akak rasa nak jadi pensyarah. Kebetulan habis degree, pihak universiti tawar sambung master. InsyaAllah kakak rasa nak sambung master," jawab beliau. Dengan keputusan yang cemerlang, bukan satu hal yang sukar untuk mendapat tawaran ini. Walaupun dengan usia yang muda, seawal 25 tahun.
"Ngomong-ngomong, sekarang sudah masuk umur 25. Sudah ada calon belum kak?" saya cuba mencuit dengan nada bercanda.
"Erm, itu yang akak nak cerita dan minta pendapat Ami ni."
"Owh... beres. Ceritalah... kalau boleh saya bagi pandangan, ya saya bagi. Jika tak boleh, sekurang-kurangnya menjadi pendengar yang baik," jelas saya.
"Ada seorang yang suka pada akak, tapi akak tak berapa berminat kerana akhlaknya tak bagus. Jadi akak tolaklah."
"Bagus, seharusnya macam itulah," komentar saya. Menambah rancak perbualan.
"Itu tak apa lagi. Akak tak kisah pun. Cuma sekarang, bimbang juga, dengan umur sudah masuk 25, tambah pula nak sambung master. Tak ramai lelaki yang berani," jelas beliau.
Sudah menjadi polemik dalam kalangan masyarakat apabila kita bercerita tentang dua kutub insan ini, faktor akademik dan taraf hidup menjadi permasalahan.
Wanita ramai di pusat pengajian awam, lelaki ramai di pusat serenti. Wanita ramai mencari ijazah, lelaki ramai berusaha menjadi jenazah di jalan raya yang "lurus". Itu baru dibuka cerita hal kelayakan duniawi, belum bersembang bab kelayakan akhirat. Susut, paras kritikal.
Lantas kebimbangan yang dikongsi itu, sebenarnya wajar dan tidak dapat tidak, kita harus mengakuinya. Ralit masyarakat kita, umur 25 tahun, adalah umur yang paling "cun" untuk melangkah ke alam sana. Menghampiri ke umur itu, cukup mendebarkan buat si gadis. Saya mengerti.
"Jadi sampai sekarang, tak ada lagi lah lelaki yang masuk merisik khabar?" Tanya saya.
"Erm, belum ada. Cuma macam ni, akak ada berkenan dengan seorang lelaki ini. Baik perangai dan insyaAllah soleh. Cuma itu di peringkat akak, jika dia, akak belum tahulah bagaimana."
"Jadi nak minta pandangan Ami, macam mana nak buat?" tanya beliau.
Mainstream Masyarakat
Selalunya, setiap hubungan itu dimulai oleh si jejaka. Mendekati si gadis, merisik si gadis, sehingga meminang si gadis. Caranya pelbagai. Bagi lelaki yang faham apa itu Islam, apa itu hukum syarak, si jejaka akan menguruskan dengan panduan tersebut. Tapi tidak kurang juga, lelaki mengambil panduan bukan dari Al-Quran dan sunnah.
Apabila lampu hijau diberikan oleh si gadis, biasanya selepas itu akan menyusullah ijab dan kabul. Lelaki meminang wanita, itu biasa dan lumrah bagi masyarakat.
"Apa kata, akak yang mulakan dulu. Maksud saya akak yang merisik lelaki tu?" Cadangan "ganjil" saya.
"Ish Ami... seganlah. Tak buat dek orang," pintas beliau.
Ya... perempuan meminang lelaki itu aneh bagi masyarakat kita. Tetapi jika kita menyemak kembali helaian sejarah gemilang, yang dicontohkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. dan para sahabat, hubungan membina keluarga Muslim lagi mukmin itu bukan dengan cara satu hala.
Ada sirah mentafsirkan hubungan itu dimulai oleh jejaka meminang wanita. Dalam pada masa yang sama, ada sirah mencatatkan hubungan itu dimulai oleh wanita itu sendiri.
Lupakah kita dengan kisah cinta Murabbi Cinta kita, Rasulullah s.a.w. dengan wanita syurga, Siti Khadijah. Dalam kisah cinta, cinta terbaik yang harus kita umat akhir zaman contohi sudah semestinya baginda. Ini membuktikan, pinangan itu bukan satu talian kehidupan yang bersifat satu hala, tetapi boleh bertukar menjadi dua hala. Tergantung keadaan dan masa.
Seganlah!
Ya segan, kerana tidak dibuat dek orang kita. Sedangkan syariat begitu luar melebar dalam menata hidup umat Islam. Cukup cantik dan cukup sempurna, berbanding keterikatan adat yang menyempit. Menyusahkan.
Yang wajib, tidak dibuat.
Yang sunat, dilihat wajib.
Yang haram, itu dipertahan!
Sebenarnya, ada sesetengah adat dan syariat yang boleh dicantumkan. Dan jika ada pertembungan, bagi kita yang mengaku beriman dengan Allah dan Rasul, syariat itu diletakkan di hadapan sekali hatta pedang di leher sekalipun.
Kebenaran itu di zaman ini dilihat asing dan janggal di mata masyarakat. Justeru menjadi "cicak yang pekak" amat dituntut biarpun dicop sebagai tidak tahu malu!
Cara Menghubung
"Habis tu macam mana akak nak buat? Takkan akak nak jumpa dia, tanya nombor telefon keluarga dia... aneh la dan malu lagi," jelas beliau.
"Haa.. ada caranya dan malu itu tandanya ada iman," pintas saya.
Sering kita, malu itu malu tidak bertempat. Ramai wanita ke pusat membeli-belah dengan menayang pusat, bertepuk tampar dengan lelaki bukan muhrim, keluar malam tak ingat dunia, berpeleseran di tempat awam tanpa segan dan malu. Buta hujung, buta pangkal.
Mahu meminang lelaki yang baik untuk diri sendiri? Ah... malu. Malu tidak bertempat.
Jika melamar lelaki itu dibenarkan syariat, kenapa tidak?
"Saya cadangkan, akak risik dia melalui orang tengah. Orang tengah ini bukan sebarang orang boleh jadi. Dia harus orang yang amanah dengan rahsia dan baik akhlaknya.Jika kita lihat Siti Khadijah itu sendiri dalam meminang lelaki terbaik di dunia, Rasulullah s.a.w. juga melalui orang tengah. Jadi, mengunakan orang tengah adalah jalan terbaik dan dan lebih mulia bagi seorang wanita," terang saya.
"Biasanya, orang tengah itu siapa?"
"Biasa orang tengah itu, pasangan yang sudah bernikah. Dan pasangan ini baik antara akak dan lelaki itu. Jadi akak boleh sampaikan hasrat melalui isteri, dan akan disampaikan ke lelaki itu melalui si suami."
"Menarik... tapi itulah segan juga tu. Macam tak laku pula."
"Biar memilih, asal jangan salah pilih. Pernikahan, bukan untuk sehari dua. Kita cuba untuk selamanya. Tempat kita mencari ketenangan. Tak laku, low class atau segala macam title yang diberikan, semuanya sekadar kata manusia. Biar di pandangan manusia low class, tetapi Allah lihat kita hamba yang high class."
"Hurmm..."
"Pandangan kita, gadis bertukar pasangan sekerap menukar lampin bayi, itu high class, hot stuff. Dibawa ke hilir jantan ini, dibawa ke hulu jantan ini. Itulah "gadis laku" di zaman kita. Jika begitulah, biar tak laku pun apa. Allah lebih mengetahui," saya memberi semangat.
"Cuma satu lagi akak bimbang, macam mana kalau pinangan ditolak lelaki tu? Malulah."
"Disini peranan orang tengah menjadi penghubung yang paling penting. Jika orang tengah itu amanah dan bijaksana dalam melaksanakan misinya, insyallah jika ditolak sekalipun kita masih santai kerana kerahsiaan amat terjaga. Apa-apa pun, doa, usaha dan tawakal itu kuncinya," jawab saya.
Perigi mencari timba atau timba mencari perigi, masih dalam lingkungan kaedah. Dan jangan kita terlupa tugasan utama kita di dunia. Sudah solehkah kita? Sudah solehahkah kita? Dengan menyelesaikan persoalan tentang diri kita, urusan si dia, dengan izin Allah dipermudahkan.
Lelaki baik, untuk wanita baik. Wanita baik, untuk lelaki baik. Itu sifir Ilahi! Itu firman tertinggi! Mahu kita percaya? Tidak perlu dijawab, tanyalah iman!
"Wanita-wanita yang keji untuk lelaki yang keji. Dan lelaki yang keji untuk wanita-wanita yang keji (pula) dan wanita-wanita yang baik diperuntukkan bagi lelaki yang baik, dan lelaki yang baik diperuntukkan bagi wanita yang baik (pula)." (Surah An-Nur:26)
Biar memilih asal jangan salah pilih.

Kehabatan Syurga berdasarkan Al-Quran


Allah menciptakan perkara-perkara yang luar biasa indah dan nikmatnya kepada orang-orang yang bertakwa sehingga menurut Nabi Muhammad s.a.w. di syurga itu terdapat apa-apa yang belum pernah dilihat oleh mata dan didengar oleh telinga serta tidak pernah pula terlintas di hati manusia.
Berikut adalah beberapa ayat Al-Quran tentang kehebatan syurga Allah SWT yang sempat saya kumpul :
"Perumpamaan syurga yang dijanjikan kepada orang-orang yang takwa ialah (seperti taman); mengalir sungai-sungai di dalamnya; buahnya tak henti-henti sedang naungannya (demikian pula). Itulah tempat kesudahan bagi orang-orang yang bertakwa, sedang tempat kesudahan bagi orang-orang kafir ialah neraka." (Surah Ar-Ra'd; 35)
"Kedua syurga itu mempunyai pohon-pohonan dan buah-buahan." (Surah Ar-Rahman; 48)
"Di dalam kedua syurga itu ada dua buah mata air yang mengalir." (Surah Ar-Rahman; 50)
"Di dalam kedua syurga itu terdapat segala macam buah-buahan yang berpasangan." (Surah Ar-Rahman; 52)
"Mereka bertelekan di atas permadani yang sebelah dalamnya dari sutera. Dan buah-buahan di kedua syurga itu dapat (dipetik) dari dekat." (Surah Ar-Rahman; 54)
"Di dalam syurga itu ada bidadari-bidadari yang sopan menundukkan pandangannya, tidak pernah disentuh oleh manusia sebelum mereka (penghuni-penghuni syurga yang menjadi suami mereka), dan tidak pula oleh jin." (Surah Ar-Rahman; 56)
"Di dalam kedua syurga itu ada dua buah mata air yang memancar." (Surah Ar-Rahman; 66)
"Di dalam syurga itu ada bidadari-bidadari yang baik-baik lagi cantik-cantik." (Surah Ar-Rahman; 70)
"Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal soleh, bagi mereka syurga-syurga yang penuh kenikmatan..." (Surah Luqman, 8)
"Dan dimasukkanlah orang-orang yang beriman dan beramal soleh ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya dengan izin Tuhan mereka. Ucapan penghormatan mereka dalam syurga itu ialah "salam"" (Surah Ibrahim; 23)
"Mereka tidak mendengar perkataan yang tak berguna di dalam syurga, kecuali ucapan salam. Bagi mereka rezeki di syurga itu tiap-tiap pagi dan petang." (Surah Maryam; 62)
"Berlumba-lumbalah kamu kepada (mendapatkan) ampunan dari Tuhanmu dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan rasul-rasul-Nya. Itulah kurnia Allah, diberikan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah mempunyai kurnia yang besar." (Surah Al-Hadid; 21)
"Di syurga itu mereka memperoleh buah-buahan dan memperoleh apa yang mereka minta." (Surah Yasin; 57)
"(Bagi mereka) syurga 'Adn mereka masuk ke dalamnya, di dalamnya mereka diberi perhiasan dengan gelang-gelang dari emas, dan dengan mutiara, dan pakaian mereka didalamnya adalah sutera." (Surah Fathir; 33)
"....Syurga itu sebaik-baik tempat menetap dan tempat kediaman." (Surah Al-Furqan; 76)
Ya Allah, anugerahkanlah kepada kami syurga-Mu dengan rahmat dan kasih sayang-Mu. Jadikanlah kami hamba-Mu yang beriman dan bertaqwa. Kami teringin menemui-Mu di syurga. Ampunkahlah dosa-dosa kami.
copy dari : iluvislam

Kalau Allah itu Maha Pengasih, kenapa ada Neraka?


Ini kisah benar.. Kisah seorang gadis Meayu, beragama Islam, tapi cetek pengetahuan tentang agama.
Ceritanya begini, di sebuah negeri yang melaksanakan dasar 'Membangun Bersama Islam', kerap kali pihak berkuasa tempatan menjalankan pemeriksaan mengejut di premis-premis perniagaan dan kompleks beli-belah, untuk memastikan para pekerja di premis berkenaan menutup aurat.
Saya tidak pasti berapa jumlah denda yang dikenakan sekiranya didapati melakukan kesalahan, tapi selalunya mereka akan diberi amaran bagi kesalahan pertama, dan didenda jika didapati masih enggan mematuhi garis panduan yang ditetapkan.
Lazimnya dalam setiap operasi sebegini, seorang ustaz ditugaskan bersama dengan para pegawai pihak berkuasa tempatan.
Tugasnya adalah untuk menyampaikan nasihat secara berhemah, kerana hukuman dan denda semata-mata tidak mampu memberi kesan yang mendalam. 
Dalam satu insiden, ketika operasi yang dijalankan sekitar 2005, seorang gadis yang bekerja di salah satu lot premis perniagaan di  sebuah pasaraya  telah didapati melakukan kesalahan tidak menutup aurat.
Maka dia pun kena denda.
Setelah surat saman dihulurkan oleh pegawai PBT, ustaz ni pun bagi la nasihat, "lepas ini diharap saudari insaf dan dapat mematuhi peraturan.
Peraturan ni bukan semata-mata peraturan Majlis perbandaran, tapi menutup aurat ni termasuk perintah Allah. Ringkasnya, kalau taat segala perintahNya, pasti Dia akan membalas dengan nikmat di syurga.
Kalau derhaka tidak mematuhi perintahNya, takut nanti tidak sempat bertaubat, bakal mendapat azab di neraka Allah.
Tuhan Maha Penyayang, Dia sendiri tidak mahu kita campakkan diri ke dalam neraka."
Gadis tersebut yang dari awal mendiamkan diri, tiba-tiba membentak "Kalau Tuhan tu betul-betul baik, kenapa buat neraka?
Kenapa tidak sediakan syurga sahaja? Macam itu ke Tuhan Maha Penyayang?" Mungkin dari tadi dia sudah panas telinga, tak tahan dengar nasihat ustaz. Sudah  la hati panas kena denda sebab dia tak pakai tudung.
Ustaz tu terkedu sekejap. Bahaya budak ni. Kalau dibiarkan boleh rosak akidah dia.
Setelah habis gadis tu membebel, ustaz tu pun jawab: "Dik, kalau Tuhan tak buat neraka, saya tak jadi ustaz.
Berapa sen sangat gaji saya sekarang. Baik saya jadi tokey judi, atau bapa ayam.
Hidup senang, lepas mati pun tak risau sebab gerenti masuk syurga.
Mungkin awak ni pun saya boleh culik dan jual jadi pelacur.
Kalau awak nak lari, saya bunuh je. Takpe, sebab neraka tak ada. Nanti kita berdua jumpa lagi kat syurga. Kan Tuhan tu baik?"
Gadis tu terkejut. Tergamak seorang ustaz cakap macam tu? Sedang dia terpinga-pinga dengan muka confused, ustaz tu pun jelaskan:
"Perkara macam tadi akan berlaku kalau Tuhan hanya sediakan syurga. Orang baik, orang jahat, semua masuk syurga.
Maka apa guna jadi orang baik? Jadi orang jahat lebih seronok. Manusia tak perlu lagi diuji sebab semua orang akan 'lulus' percuma.
Pembunuh akan jumpa orang yang dibunuh dalam syurga. Perogol akan bertemu lagi dengan mangsa rogol di syurga.
Selepas tu boleh rogol lagi kalau dia nak. Tak ada siapa yang terima hukuman. Sebab Tuhan itu 'baik'.
Adakah Tuhan macam ni yang kita nak? Awak rasa, adil ke?" Tanya ustaz.
"Mana adil macam tu. Orang jahat takkan la terlepas macam tu je." Rungut si gadis.
Ustaz tersenyum dan menyoal lagi: "Bila tuhan tak adil, boleh ke dianggap baik?"
Gadis tu terdiam.
Ustaz mengakhiri kata-katanya:
"Adik, saya bagi nasihat ni kerana kasih sesama umat Islam. Allah itu Maha Penyayang, tapi Dia juga Maha Adil.
Sebab tu neraka perlu wujud. Untuk menghukum hamba-hambaNya yang derhaka, yang menzalimi diri sendiri dan juga orang lain.
Saya rasa awak dah faham sekarang. Kita sedang diuji di atas dunia ni.
Jasad kita bahkan segala-galanya milik Allah, maka bukan hak kita untuk berpakaian sesuka hati kita.
Ingatlah, semuanya dipinjamkan olehNya, sebagai amanah dan ujian.
Semoga kita dapat bersabar dalam mentaati segala perintahNya, untuk kebaikan diri kita juga."